Nak pilih nama domain ni perlukan banyak pertimbangan kerana ianya adalah identiti website atau blog anda. Anda kena pastikan nama domain tu bukan sahaja sesuai dengan bisnes anda, bahkan mudah untuk dicari dan diiklan. Dalam artikel ni saya nak kongsikan 10 tips pilih nama domain terbaik untuk blog anda.
1) Pilih nama domain yang pendek
Bila buat nama domain, utamakan nama domain yang pendek dan ringkas. Kalau boleh nama domain tu janganlah lebih 10-12 huruf.
Nama domain yang pendek memudahkan pengunjung blog anda dan kurang terdedah kepada kesilapan.
Domain raihanhomestayshahalam.com misalnya boleh jadi pengunjung taip raihanhomestayshhalam.com.
Bila tersilap macam ni, kita rugilah. Pengunjung tak sampai ke website kita.
Selain itu, dari segi persepsi, nama website yang pendek nampak lebih profesional dan dipercayai.
2) Guna nama yang boleh dijenamakan
Anda tak perlu gunakan kata kunci bila nak buat domain. Contoh kata anda jual tudung labuh, tak perlu pilih domain tudunglabuh.com.
Ramai yang buat macam ni sebab mereka ingat ada kelebihan dekat SEO jika kata kunci tu ada dalam nama domain. Salah sebenarnya.
Sekarang ini Google dah jauh lebih pandai. Kata kunci dalam domain tak begitu penting untuk SEO.
Sebaliknya pilih nama boleh jadi jenama seperti tudungzara.com.
Buat permulaan, mungkin orang tak kenal tudungzara.com tu. Tapi dengan strategi pemasaran yang betul, tudungzara.com mungkin boleh jadi nama yang masyhur.
Nama begini unik dan beri impak besar kepada jenama website anda untuk jangkamasa panjang.
Kalau anda guna tudunglabuh.com tadi, nama tu terlalu general dan tak boleh dijenamakan.
3) Pilih nama domain yang mudah diingati
Cuba anda sebut nama website yang masyhur dalam web. Kita ada:
- Amazon
- Shopee
Perasan tak? Nama website mereka ni pendek dan mudah kita nak ingat.
Bila anda pilih nama domain, pilihlah nama yang boleh disebut. Website Lazada misalnya.
Nama tu cukup baik dari segi sebutan dan sangat mudah nak ingat. Pada pendapat saya, antara sebab Lazada ni berjaya kerana nama website tu sendiri.
4) Pilih domain extension yang sesuai
Apa tu domain extension? Saya bagi contoh domain adrevolusi.com.
.com tu kita panggil sebagai domain extension. Domain extension ni ada banyak dan setiap extension tu ada tujuannya.
.edu misalnya merujuk kepada institusi pendidikan. Atau .gov merujuk kepada badan kerajaan.
Untuk kita yang biasa ni, utamakan .com berbanding domain extension yang lain. Kenapa?
Kerana .com ni lebih dipercayai berbanding domain extension yang lain (kecuali .gov).
Walaupun begitu, extension .com ni ramai yang guna. Dan boleh jadi nama yang kita nak tu dah ada orang lain daftar.
Dalam situasi macam ni anda kena kreatif. Gabungkan beberapa perkataan pendek untuk terbitkan perkataan baru misalnya.
Ada satu website yang saya tahu pun buat cara macam ni. Nama website tu Treehouse, sebuah laman web untuk belajar programming.
Tapi Treehouse ni tak dapat gunakan treehouse.com kerana dah ada orang lain yang daftar nama tu. Jadi mereka gunakan domain teamtreehouse.com.
Nampak tak? Dengan sedikit kreativiti, kita boleh cari nama yang sesuai.
5) Elakkan nombor dan sengkang (-)
Elakkan nombor dan simbol dalam domain name. Kenapa?
Nombor dan simbol dalam domain ni nampak macam website spam. Website judi banyak guna nombor dan sengkang. Haha.
Selain itu, nombor dalam domain ni boleh buat orang keliru. Katakan domain anda tu 1mdb.com.
Pengunjung boleh satu tersilap alamat domain anda: onemdb.com? satumdb.com?
Penggunaan sengkang pun boleh jadi mengelirukan juga. Domain pisang-goreng.com misalnya.
Macam mana anda nak promote domain ni kat orang ramai, terutama bila anda kena sebut nama domain tu?
Jadilah “pisang dash goreng.com”. Tak ke pelik tu?
Kesimpulannya tak usahlah bubuh nombor atau simbol ni.
6) Buat kajian sebelum daftar
Bila anda dah ada nama yang anda senarai pendek, buat kajian sikit tentang nama tu sendiri.
Kita tak nak la nama tu dah ada orang lain guna. Boleh jadi mereka tak daftar nama domain tu, tapi nama tu dah sinonim dengan produk mereka.
Saya bagi contoh.
Katakan anda (atas sebab tertentu) berminat dengan domain ayaharka.com. Ayah Arka ni pula kalau anda tahu dah jadi jenama untuk Ayahanda Rani Kulop…
…sekalipun dia sendiri tak daftar nama domain tu.
Bila kita guna nama macam ni, identiti jenama kita tu nanti bercelaru. Pengunjung tak dapat relate jika website tu cerita tentang benda lain selain Ayahanda. Dah la bercelaru, silap hari bulan kena tampar dengan Ayah. Haha.
Saya bagi contoh ni sedikit ekstrim tapi selalu berlaku.
Bila kita nak daftar nama domain ni, sekurang-kurangnya kita Google dulu. Bukan setakat nak tahu sama ada nama tu dah ada orang guna, kita juga nak pastikan nama domain tu tak menjadi trademark atau copyright orang lain.
Nanti bila dah daftar bermasalah pula dari sudut undang-undang.
7) Cek Media Sosial
Selain itu, saya cadangkan anda semak juga media sosial dengan nama yang anda nak daftar tu.
Anda nak pastikan belum ada page yang didaftarkan sama dengan nama yang anda nak.
Misalnya, katakan anda minat dengan domain madutiga.com. Pastikan belum ada Facebook page yang berdaftar dengan nama tu.
Ini nak pastikan nama yang anda nak tu unik, bukan setakat untuk bina website, bahkan juga di media sosial.
Kalau tak nanti pening juga. Nama website dah cantik. Tapi dekat Facebook dah ada page nama sama dengan website anda.
Page tu pula sangat aktif. Ada ratus ribu pengikut. Kacau habis strategi media sosial anda.
8) Rancang untuk jangka panjang
Nama domain yang anda nak pilih ni kena sesuai dengan perancangan jangka panjang anda.
Kita ambil contoh…
Katakan anda berniaga tudung dan daftar nama domain tudungzara.com.
Anda berniaga dan tudung anda jual tu punyalah laku. Bisnes berkembang baik.
Sampailah satu ketika, anda fikir sekarang ni anda nak jual bukan tudung je. Tapi juga baju, shawl, jubah dan lain-lain.
Alamak…
Nama website tadi tudungzara.com tapi jual juga macam-macam benda lain. Nama domain tu dah terlalu niche dan tak fit dengan strategi semasa.
Memang boleh buka zaraapparels.com lepas tu. Tapi semua benda termasuk usaha SEO anda kena mula dari awal semula.
Orang ramai pula dah terbiasa dengan tudungzara.com. Mereka tak kenal zaraapparels.com. Kat situ mungkin melibatkan kerugian.
Jadi bila pilih nama domain ni, anda kena fikir panjang. Terutama sekali soalan, dekat mana anda lihat bisnes anda ni 10 tahun atau 20 tahun akan datang?
Dari soalan tu lah anda akan bertemu jawapan nak pilih domain yang macam mana.
9) Daftar cepat-cepat
Bila anda dah ada nama domain yang anda nak, anda kena daftar cepat-cepat.
Kalau terlambat, nama domain tu mungkin orang lain ambil. Terutama kalau nama tu memang kita betul berkenan dan boleh jadi jenama yang baik.
Nak daftar nama domain ni pun bukanlah mahal mana. Untuk domain .com sekitar RM50-60.
10) Jaga nama domain anda
Jenama bisnes kita ni kita kena lindungi. Ini termasuklah nama domain website. Sebagai contoh katakan nama website anda nasikakwok.com.
Anda dah berniaga lama dan sangat popular. Kalau anda tak hati-hati, mungkin ada yang akan daftar nasikakwok.net dan ambil kesempatan.
Mereka kata merekalah yang tulen. Sedangkan website mereka tu palsu belaka. Menunggang jenama website anda.
Bukan setakat tu je, kalaulah kata mereka buat perkara yang salah, persepsi orang ramai mungkin ingat kita pun terlibat sekali.
Jadi macam mana kita nak lindungi nama domain tu?
Kita daftar domain extension seperti nasikakwok.net, nasikakwok.org dan lain-lain.
Dengan cara ni kita dapat halang orang lain ambil kesempatan.
Anda nak buat blog atau website…?
Kalau anda berhasrat nak buat blog atau website, ikuti artikel Cara Buat Blog: Bina Website Sendiri Dalam 5 Langkah sekarang!
Leave a Reply